Sebuah lagi hospital pakar, Kuala Terengganu Specialist (KTS), akan dibina setelah hospital pakar yang ada sekarang tidak mampu menampung keperluan semasa.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, KTS yang kedua itu akan dibina di satu kawasan di Batu Buruk di Kuala Terengganu sebelum akhir tahun ini.
"KTS yang kedua itu perlu memandangkan KTS yang ada sekarang mendapat sambutan yang menggalakkan dan tidak mampu menampung keperluan yang semakin meningkat," katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat negeri Terengganu di Setiu, semalam.
KTS sedia ada milik Terengganu Develoment Management (TDM) iaitu anak syarikakt kerajaan negeri Terengganu, beroperasi di Jalan Kamaruddin sejak lima tahun lepas dan hanya menyediakan 26 katil.
KTS yang baru itu akan menyediakan 150 katil.
Ahmad juga berkata kebanyakan penyakit kronik terjadi disebabkan tingkah laku manusia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat dan tidak aktif, amalan pemakanan tidak sihat selain mengamalkan tabiat merokok.
"Saya dimaklumkan dianggar satu dari lapan rakyat negara ini menghidap diabetes dan hampir satu dari tiga orang menghidap hipertensi," katanya.
No comments:
Post a Comment