Monday, May 16, 2011

Ahmad Tirmizi, Norhidayah Wakili Terengganu ke Kejohanan Tilawah al-Quran Kebangsaan

Ahmad Tirmizi Ali dan Norhidayah Abdul Rahman bersama piala yang dimenangi selepas dinobatkan selaku johan Tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, malam kelmarin (13 Mei 2011). - Gambar Unit Komunikasi Negeri.

Juara Akademi al-Quran musim keempat, Ahmad Tirmizi Ali, 26, dipilih sebagai johan Tilawah al-Quran peringkat negeri yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini, malam tadi.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Qiraat dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang mewakili daerah Dungun dipilih mewakili negeri buat kali ketiga setelah merangkul gelaran sama pada 2004 dan 2005.

“Walaupun pernah menang sebelum ini, saya tidak memandang mudah setiap pertandingan kerana apa yang penting kualiti bacaan sentiasa dipertingkatkan selaras dengan matlamat program ini dianjurkan saban tahun.

“Bagi saya, perjalanan dalam bidang ini masih panjang kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya yang kini menjadi guru agama di Kampung Che Lijah, Dungun.

Anak kelima daripada 12 beradik itu pernah menjadi pemenang Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa di Maghribi pada Februari 2009.

Sementara itu, johan qariah pula dirangkul oleh lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Norhidayah Abdul Rahman, 20.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong mewakili daerah Setiu pada 2009 itu berjaya mempertahankan gelaran yang disandang tahun lalu.

“Penyertaan ini sebagai mengikut jejak ayah kerana saya pun banyak belajar daripadanya. Ayah sebelum ini beberapa kali berjaya mewakili daerah Setiu,” katanya yang kini menetap di Kampung Bari, Setiu.

Johan qari dan qariah membawa pulang wang tunai RM7,000, pakej mengerjakan haji, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail.

Utusan Malaysia

2 comments: