UMNO dan Barisan Nasional (BN) Marang kini sudah bersedia menawan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong daripada tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda, berkata, UMNO mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi pilihan raya umum itu dan yakin dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kawasan berkenaan untuk memilih semula BN.
“Pembangkang juga tidak ada isu kerana kita (UMNO) tetap meneruskan pembangunan di kawasan ini walaupun ia kawasan pembangkang dan kerajaan sudah pasti akan menggandakan usaha jika dapat menawan semula DUN Bukit Payong.
“Kita sudah bersedia dan akan memberi tumpuan penuh pada PRU13 kali ini dan insya-Allah, kita yakin akan menang,” katanya selepas pelancaran Program Gotong-royong Perdana Guru Bersama Masyarakat di Mak Kemas, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Razali Bidin dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Ngah Bidin.
Mengenai program anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu itu, Zaidi berkata, seramai 500 penduduk dan warga pendidik terlibat dalam menjayakan aktiviti gotong-royong perdana selepas dilancarkan Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Bidin.
“Ini kerja amal warga pendidik bersama masyarakat sekali gus dapat mengeratkan hubungan dengan ibu bapa pelajar di kawasan DUN Bukit Payong,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Ngah Bidin berkata, semangat bergotong-ro-yong telah diamalkan sejak turun-temurun serta patut diterapkan kepada generasi muda agar budaya itu tidak ditelan zaman.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment