Tasik Kenyir bakal menjadi tumpuan umum dalam suasana penuh kemeriahan sepanjang tiga hari bermula Jumaat ini dengan berlangsungnya Festival Kenyir.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka merasmikan festival itu kira-kira jam 10 esok.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah berkata, pelbagai acara yang sebahagiannya belum disaksikan seperti belon udara panas dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
Program anjuran agensi itu dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-38 Ketengah.
Katanya, program yang tertumpu di sekitar Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir itu bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong serta memaparkan kesesuaian tasik berkenaan untuk pelbagai jenis aktiviti rekreasi dan sukan darat, air dan udara.
"Program itu juga sebagai persiapan awal dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dijangka beroperasi Ogos tahun depan.
"Festival itu turut memperkenalkan program 'Kenyir Island Hopping' di mana pulau-pulau diberikan daya tarikan dengan taman orkid, taman buah-buahan tropika, taman herba, taman burung dan taman rama-rama," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Hamzah, lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu.
Pelbagai aktiviti air bakal menarik minat pengunjung katanya, seperti pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.
"Selain pertunjukan belon udara panas yang bakal mewarnai langit Tasik Kenyir, festival turut dimeriahkan dengan penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin," katanya.
Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.
Thursday, May 5, 2011
Festival Kenyir Tiga Hari Bermula Esok
Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah (depan 3 dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Ahmaddin Mahmood (dua dari kiri) bagi tajaan akhbar Kosmo dan Utusan di pejabat Ketengah Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun.
No comments:
Post a Comment