Nawi Mohamad melakukan upacara pecah tanah ketika merasmikan Ladang UniSZA di Kampung Pasir Akar, Besut, Terengganu, kelmarin. - Utusan
Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka sebuah ladang ternakan, pertanian dan bioteknologi di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut disambut baik oleh penduduk kerana mereka boleh turut mendapat manfaat daripadanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, usaha itu bertepatan kerana penduduk Hulu Besut kebanyakannya petani dan kawasan itu terkenal dengan hasil tanaman terutamanya buah-buahan.
Katanya, setiap kali musim buah-buahan seperti durian, rambutan, dokong serta duku dan langsat, Hulu Besut menjadi kunjungan dan pilihan penggemar buah-buahan tempatan dari segenap kawasan.
Menurutnya, usaha itu akan membuka peluang kepada penduduk kawasan itu menambah pengetahuan dalam pertanian moden bagi meningkatkan hasil dan mempelbagaikan penglibatan dalam sektor itu.
"Banyak kaedah pertanian moden dalam bidang ternakan dan bioteknologi akan dapat diperkembangkan lagi untuk dimanfaatkan oleh penduduk dan UniSZA sendiri," katanya selepas merasmikan Ladang UniSZA di Kampung Pasir Akar, kelmarin.
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr. Prof. Alias Daud, Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi Prof. Dr. Mat Zakaria dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UniSZA, Abdul Hadi Ahmad.
Nawi berkata, ini merupakan peluang terbaik kepada masyarakat yang tinggal di kawasan Hulu Besut untuk berkongsi kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan.
Pada masa yang sama, ini akan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda berkecimpung dalam kedua-dua bidang yang mampu menyerlahkan lagi potensi Hulu Besut ke arah pembangunan lebih pesat.
Nawi berkata, kawasan Hulu Besut yang pada masa ini mempunyai beberapa lokasi pelancongan menarik seperti Hutan Lipur Lata Tembakah dan Kolam Air Panas Kampung La boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan yang dirancang.
Terdahulu, Dr. Alias dalam ucapannya berkata, sebagai permulaan ladang pengajaran dan pembelajaran bagi Jabatan Sains Haiwan akan dibina dengan kandang kambing, lembu pedaging dan tenusu.
Tambahnya, untuk perancangan jangka panjang, yang lebih komprehensif dan berintegrasi, UniSZA akan menubuhkan beberapa pusat kajian berasaskan pertanian integrasi seperti Pusat Biak Baka, Pusat Puyuh dan Pusat Pemuliharaan Herba.
No comments:
Post a Comment