Thursday, May 19, 2011

'Jalan Sultan Zainal Abidin Perlu Sehala' - Ahmad Said

Laluan sehala atau penghadang jalan, itulah kata dua Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada peniaga dan penduduk di Jalan Sultan Zainal Abidin dan Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, yang membantah tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengubah jalan itu daripada dua hala kepada satu hala.

Katanya, keputusan mengubah laluan itu menjadi jalan sehala terpaksa dilakukan berikutan pertambahan kenderaan yang menjadi punca utama berlaku kesesakan lalu lintas.

Beliau mengakui setiap perubahan termasuk mengubah laluan jalan menimbulkan perasaan kurang senang penduduk dan peniaga, tetapi sebelum dilakukan kajian terperinci sudah dilakukan termasuk dari segi aliran lalu lintasnya.

“Tahun lalu, peniaga turut membantah apabila MBKT mengubah jalan daripada dua hala kepada satu hala di Jalan Sultan Ismail, tetapi hari ini kita nampak aliran lalu lintas di jalan itu lancar selepas dijadikan empat lorong," katanya mengulas tindakan segelintir peniaga dan penduduk di jalan itu tidak berpuas hati dan membantah tindakan MBKT mengubah jalan berkenaan.

Ahmad Said berkata, jalan itu terpaksa dijadikan laluan sehala bermula daripada simpang tiga Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) hingga ke Jalan Kota sebagai langkah melancarkan aliran lalu lintas dalam bandar.

Katanya, alasan perniagaan terjejas berikutan jalan menjadi sehala seperti didakwa peniaga terutamanya peniaga kedai makan dan restoran juga tidak berasas.

Pada Selasa (17 Mei 2011), kira-kira 100 penduduk termasuk pemilik premis perniagaan di Kampung Tanjung Batu 1 membantah tindakan pihak berkuasa mengubah laluan dua hala di Jalan Sultan Zainal Abidin kepada sehala sejak seminggu lalu.

Sebagai tanda tidak puas hati, mereka bersepakat menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam supaya laluan tersebut diubah semula kepada asal.

Seorang penduduk, Mazlan Abdullah, 45, berkata, sejak laluan itu dijadikan sehala, ia telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk sekitar yang terpaksa berpusing jauh untuk berpatah balik ke arah Kampung Ladang.

Malah katanya, masalah itu turut menjejaskan pendapatan para peniaga yang beroperasi di kiri kanan jalan sepanjang laluan tersebut.

"Sebagai seorang pengusaha bas sekolah, kira-kira tujuh kali sehari saya terpaksa buat pusingan ikut jalan jauh untuk ambil atau turunkan murid," katanya ketika ditemui.

Laluan sehala itu bermula di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang seterusnya menghala ke Pasar Besar Kedai Payang sejauh kira-kira satu kilometer.

Mazlan berkata, perubahan laluan itu turut memberi kesempatan kepada mat-mat rempit berlumba terutama pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Seorang peniaga, Md. Noor Shaari, 58, berkata, dia tidak nampak di mana rasionalnya laluan tersebut dijadikan sehala sebaliknya menyusahkan penduduk serta peniaga di kawasan berhampiran.

Selain itu jelasnya, perubahan laluan itu turut memberi kesan kepada kunjungan pelancong untuk ke destinasi yang mereka kehendaki.

Seorang lagi peniaga, How Kok Kong, 67, berkata, dia hairan kenapa laluan itu diubah menjadi sehala sedangkan sebelum ini jalan itu tidak pernah mengalami kesesakan lalu lintas.

"Kalau jalan sesak lainlah, tapi jalan ini tak pernah sesak pun kerana ia lebar dan luas. Kita harap pihak berkenaan ubah balik laluan ini kepada dua hala seperti sebelumnya," katanya yang mengakui perniagaannya terjejas disebabkan masalah itu.

Berita Harian/Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment