Friday, May 6, 2011

Kerajaan Pusat Kesal Cara Kelantan Tangani Isu Orang Asli

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kesal dengan cara kerajaan negeri Kelantan menangani kepentingan dan hak Orang Asli berhubung Ladang Rakyat.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha kerajaan PAS negeri itu untuk membantu golongan pribumi negeri itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

"Kalau di negeri lain, banyak bantuan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Isu Ladang Rakyat telah membangkitkan kemarahan Orang Asli di kawasan Gua Musang apabila mereka mendakwa tanah yang diusahakan mereka sejak puluhan tahun lalu diambil oleh kerajaan negeri itu untuk dibangunkan sebagai Ladang Rakyat yang diusahakan pihak swasta.

Beliau berkata, Terengganu antara negeri terbaik dalam pengurusan dan hal ehwal berkaitan masyarakat Orang Asli khususnya dalam aspek mewartakan tanah dan kepelbagaian sektor pertanian sebagai sumber ekonomi golongan itu.

Katanya, kementerian mendapati Terengganu tidak mempunyai banyak masalah dari aspek perkembangan dan keperluan yang dikehendaki oleh masyarakat Orang Asli, sama ada dari segi tanah serta masalah lain.

“Sebahagian daripada tanah yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli sudahpun diwartakan dan merupakan negeri yang saya yakin sudah banyak memenuhi keperluan golongan itu seperti apa yang dituntut dalam memorandum yang diajukan kepada Perdana Menteri dan saya selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli,” katanya.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu selepas Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri kelak akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Terengganu muncul negeri terawal yang mewartakan tanah kepada masyarakat Orang Asli iaitu sejak 1962 dan negeri yang paling banyak mewartakan tanah kepada masyarakat.

Untuk rekod, sebanyak 50,563.51 hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di tiga penempatan di seluruh Terengganu dengan 19,713.65 hektar daripadanya sudah diwartakan sebagai tanah rizab.

Sementara itu, sebanyak 30, 849.84 hektar sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri tetapi belum diwartakan.

Tiga penempatan orang asli di Terengganu adalah di Sungai Berua, Hulu Terengganu yang melibatkan 416 orang daripada 88 keluarga, Sungai Pergam, Kemaman seramai 535 orang daripada 114 keluarga dan Sungai Sayap, Besut pula seramai 29 penduduk (lapan keluarga).

Sementara itu, Menteri Besar berkata sikap terpuji Orang Asli di Terengganu ialah mereka tidak meneroka tanah secara haram.

Unit Komunikasi Negeri/Bernama

No comments:

Post a Comment