Friday, May 6, 2011

Terengganu Belanja RM2.58 Juta Untuk Khidmat Pergigian Bergerak

Gambar Hiasan - Seorang pelajar mendapatkan perkhidmatan memeriksa gigi.

Seramai 140,849 daripada 133,978 murid sekolah rendah dan 100,893 daripada 133,978 pelajar sekolah menengah di Terengganu menerima rawatan pergigian yang disediakan oleh Perkhidmatan Pergigian bergerak sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A.Rahman Mokhtar berkata pihaknya membelanjakan RM2.58 juta khusus bagi menyediakan perkhidmatan itu, yang turut dipanjangkan kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

Beliau berkata ini kejayaan perkhidmatan itu menyerlahkan prestasi Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang cukup membanggakan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Katanya tahap kesihatan pergigian kanak-kanak berumur bawah enam tahun didapati masih rendah berdasarkan laporan kaji selidik pada tahun 2007 yang menunjukkan bahawa purata kerosakan gigi golongan itu berada pada tahap 6.05 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Khidmat Masyarakat Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia dan Kem Kesihatan Negeri Terengganu di pekan Kuala Besut semalam.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N.Jegarajan S Pillay, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Mohamamad Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Dr A.Rahman berkata ketika ini terdapat 80 pegawai pergigian daripada 104 jawatan dengan nisbah seorang pegawai bagi 13,000 penduduk berkhidmat di Terengganu, tidak termasuk lima pakar pergigian dalam bidang pembedahan mulut, pakar pergigian kanak-kanak, pakar orthodontik dan pakar periodontik.

Dalam perkembangan lain Dr A Rahman berkata kerajaan membelanjakan hampir RM1.2 juta untuk memasang 'Floride Feeder' di loji rawatan air Syarikat Air Terengganu (Satu) dalam usaha meningkatkan kesihatan rakyat.

"Menjelang akhir tahun ini orang ramai di Terengganu akan dapat menikmati bekalan air berflorida yang selamat, yang juga dapat membantu mencegah kerosakan gigi terutama di kalangan kanak-kanak," katanya.

No comments:

Post a Comment