Monday, May 16, 2011

Masjid Raja Siap Ramadan - Ahmad Said

Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa Masjid Raja yang terletak di Chendering akan dapat digunakan selewat-lewatnya sebelum bulan Ramadan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jaminan itu diberikan setelah kontraktor yang berkenaan berjanji untuk menyelesaikan projek pembinaan masjid itu yang hampir terbengkalai sebelum ini.

Jelas Ahmad, beliau juga telah meminta supaya kontraktor tersebut menyegerakan pembinaan masjid itu dan tidak mengemukakan sebarang alasan lagi.

Katanya, projek yang menelan belanja sebanyak RM9.2 juta itu sepatutnya siap pada bulan September tahun lepas tetapi terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali atas masalah yang disebabkan kontraktor.

“Sehubungan itu, saya berharap mana-mana kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan sebarang projek selepas ini agar menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke Chendering di Kuala Terengganu, Sabtu (14 Mei 2011).

Hadir sama Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, Datuk Che Mat Jusoh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Masjid Raja Chendering telah didirikan sejak tahun 1951 dan dirobohkan untuk pembinaan semula sekitar tahun 2008 yang lalu.
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment