Monday, May 16, 2011

Terengganu Tak Pandang Mudah, Pahang Akui Laluan Sukar

Biarpun mendahului dari segi agregat, Terengganu tidak memandang mudah pertemuan kedua separuh akhir Piala FA dengan Pahang malam ini dan tetap membuat persediaan rapi untuk memastikan kesebelasan utama mampu mengalas tugas dengan baik.

Bagi jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya lebih bersemangat bermain di depan penyokong setia supaya matlamat mencari kemenangan tercapai dan tiket ke final di dalam genggaman.
Kali terakhir Terengganu mara ke perlawanan akhir adalah pada 2004 dan peluang untuk berbuat demikian tahun ini lebih cerah andai pemain mengekalkan persembahan bermutu dan menyekat Pahang daripada membolosi gawangnya.

Berbekalkan kemenangan 3-2 di Stadium Darulmakmur Jumaat lalu, moral barisan Irfan Bakti lebih tinggi untuk mengulangi kemenangan ke atas anak buah Dollah Salleh tetapi jurulatih Terengganu itu tetap merendah diri kerana sedar tempoh 90 minit malam ini perlu dihadapi dengan berhati-hati.

“Terengganu tidak akan bertahan. Saya tidak mahu pemain berasa selesa dengan kemenangan di Kuantan dan mereka hendaklah bersungguh-sungguh serta menggunakan setiap peluang untuk menghasilkan gol,” katanya yang tetap menurunkan barisan terbaik untuk mencari gol awal untuk membuatkan pelawat lebih terdesak.

Sementara penggendali Pahang, Dollah Salleh mengakui laluan sukar bakal dihadapi skuad kendaliannya pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin itu tetap mengharapkan kejayaan mengiringi Pahang untuk beraksi pada pentas final piala berprestij itu.

Dollah berkata, kekalahan 2-3 pada separuh akhir pertama piala itu belum menutup sasaran ke final kerana perlawanan masih berbaki 90 minit.

Katanya, pemain yang diberi tanggungjawab diharap dapat memberikan persembahan terbaik jika mahu beraksi pada final.

“Inilah peluang terbaik untuk mencipta kejayaan dan kesempatan ini harus dilakukan dengan mencipta kejayaan biarpun Terengganu dilihat mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.

“Saya akui Pahang menghadapi laluan sukar memandangkan Terengganu menjaringkan tiga gol di gelanggang kami tetapi bagi Pahang, kami perlu menang 2-0 jika mahu menyamakan kedudukan, sekali gus beraksi di final,” katanya semalam.

Menurutnya, tiada yang mustahil dalam bola sepak andai pemain menggunakan sepenuhnya peluang jaringan manakala jentera pertahanan mengekang segala asakan barisan depan Terengganu.

“Pemain tidak harus berasa tertekan kerana peluang masih ada dan terserah kepada mereka sendiri untuk membuktikan mereka boleh menongkah arus. Jika pemain dapat mengekalkan konsistensi dan bekerjasama mantap, Pahang mampu menang,” kata Dollah.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment