Wednesday, May 25, 2011

Perlu Rujuk Beasley Untuk ke TSG - Adiq

Desas-desus mengenai pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang ingin memancing pelumba Drapac Professional Cycling, Muhamad Adiq Husainie Othman terjawab apabila tuan punya badan menyatakan minat untuk menyertai pasukan negeri kelahirannya itu.

Namun, semuanya bergantung kepada ketua jurulatih basikal negara, John Beasley.

Menurut pelumba berusia 20 tahun itu, jauh di sudut hatinya memang mahu berbakti untuk pasukan profesional negeri sendiri tetapi perlu melihat daripada keadaan semasa kerana semua keputusan perlu dirujuk kepada Beasley.

"Saya serah segala keputusan ini kepada John (Beasley) kerana dia adalah segala-gala bagi saya, walaupun tidak ada kena mengena bersama pasukan yang saya wakili saya tetapi dia tetap jurulatih negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi melalui laman sosial, Facebook kelmarin.

Sekarang ini Adiq bersama seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Amir Mustafa Rusli bersama-sama pasukan Drapac sedang menyertai perlumbaan dan berlatih di Belanda dan Belgium.

"Saya amat menghormati John, dia jaga saya sejak dari remaja, dia juga yang membantu saya menyertai pasukan Drapac, saya tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa nasihat daripadanya.

"Sebenarnya pasukan TSG ini mampu pergi jauh, terutama sekali dengan kesemua pelumba tempatan adalah dari Terengganu, walaupun pasukan baru tetapi mereka sudah membuktikan kehebatan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini," kata Adiq.

Adiq juga berharap TSG mampu menjalani dan menyertai perlumbaan di Eropah bagi meningkatkan lagi kualiti pelumba yang ada sekarang dan mampu mengharumkan nama Terengganu di mata dunia.

"Jika mereka diberi peluang untuk berlumba dan menjalani latihan di luar banyak pengalaman akan diperoleh, siapa sangka mungkin dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi kebanyakan pelumba sudah boleh mewakili pasukan yang lebih besar.

"Bagaimanapun pendapat saya sendiri kedua-dua pasukan bagus, baik TSG mahupun Drapac, lagi pun saya masih mempunyai kontrak dengan pasukan sekarang ini sehingga hujung tahun ini," kata Adiq.

Adiq sudah menyertai empat perlumbaan sepanjang 15 hari di Eropah di mana perlumbaan tebaru ialah di Belgium - Belanda, Puivelde Pro Kermesse yang mana dia berjaya menamatkan perlumbaan dalam 40 pelumba terbaik daripada 200 pelumba.

No comments:

Post a Comment