Thursday, May 5, 2011

Perak Mohon Sekolah Sukan Berasrama Penuh Seperti Terengganu

Kerajaan pusat diminta menimbang permohonan kerajaan Perak supaya sebuah sekolah sukan yang turut dilengkapi kemudahan untuk pelajar yang menjadi atlet orang kurang upaya (OKU) dibina di negeri itu.

Kini terdapat dua sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kompleks Sukan Negara dan Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Terengganu juga mempunyai sebuah sekolah sukan negeri iaitu Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas di Setiu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar kanan) berkata permohonan itu akan disampaikan secara rasmi oleh kerajaan negeri dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat ramai pelajar di Perak yang berpotensi untuk diketengahkan dalam pelbagai bidang sukan.

"Hari ini kerajaan negeri telah mendengar taklimat oleh sekumpulan mereka yang terlibat dalam kurikulum sekolah sukan dari Kementerian Pelajaran. Perak akan menyediakan tapak bagi sekolah sukan itu sekiranya kementerian meluluskan pembinaannya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Ipoh semalam.

Zambry berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak sekolah sukan itu.

Katanya kerajaan negeri berharap sekolah sukan itu membuka peluang untuk kemasukan pelajar yang menjadi atlet OKU agar potensi mereka dapat digilap.

"Jika ini dapat direalisasikan, sekolah itu dapat memberi kemudahan untuk atlet OKU dan juga atlet normal. Ini akan menjadi satu keunikan sekolah sukan ini. Kita mahu konsep sekolah sukan yang dibina di Perak mempunyai konsep seperti Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor," katanya.

Zambry berkata anggaran kos pembinaan sekolah sukan adalah antara RM80 juta dan RM100juta yang melengkapi kemudahan persekolahan, asrama dan kemudahan sukan.

No comments:

Post a Comment