Saturday, May 14, 2011

Terengganu Berpotensi Jadi Pusat Pelancongan Kesihatan

Terengganu mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pusat pelancongan kesihatan kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dari segi prasarana kesihatan dan alam sekitar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kawasan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir sering menjadi daya tarikan pelancong dan ia mampu menjadi hub pelancongan kesihatan dengan meletakkan lebih banyak fasiliti kesihatan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya beliau akan berhubung dengan Malaysia Health Tourism Council untuk mengkaji potensi yang ada di Terengganu.

"Saya melihat dengan adanya kekuatan politik dan juga kekuatan dari segi prasarana dan logistik, ia menjadikan Terengganu sebagai antara tempat yang berpotensi untuk dijadikan sebagai hub pelancongan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Kemaman, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment