Monday, May 16, 2011

Timbalan Menteri Nasihat Elak Interaksi Dengan Monyet

Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak berinteraksi dengan monyet termasuk kera liar yang boleh menyebabkan penularan virus SIV (Simian Immunodeficiency Virus).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, virus SIV adalah virus yang dikesan disebarkan monyet dan ia bukan virus HIV (Human Imunodeficiency Virus) sebagaimana anggapan masyarakat sebelum ini.

“Saya mahu tegaskan sekali lagi bahawa virus yang dibawa monyet adalah virus SIV, bukan HIV.

“Masyarakat tidak perlu cemas, namun pada masa sama kita harap masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berinteraksi dengan monyet bagi mengelakkan dijangkiti virus SIV ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di Kemaman, baru-baru ini.

Menurut Rosnah, pada masa sama kementerian juga akan mengambil langkah bagi memastikan jangkitan virus yang dibawa spesies monyet berkenaan tidak memberi tekanan kepada masyarakat.

Sementara itu, mengenai masalah monyet yang menceroboh dan masuk ke kawasan kediaman pula, beliau meminta pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Veterinar mengambil tindakan kerana ia di luar bidang kuasa kementeriannya.

“Bagaimanapun, di kementerian kita sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak ini untuk memastikan monyet berkenaan tidak menjadi ancaman kepada masyarakat,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment