Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di daerah Besut memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di Kampung Raja, dia berada di rumah pasangannya ketika ditangkap dekat Apal kerana berselisih faham dengan keluarganya.
Pelajar itu memberitahu ketika dia ditangkap dengan pasangannya pada 21 Mac tahun lalu disebabkan keluar rumah keluarganya selepas bergaduh dengan ibu dan bapanya.
Dia yang ketika ditangkap belajar dalam Tingkatan Tiga memberitahu demikian ketika Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof bertanya mengapa tertuduh berada di tempat kejadian sedangkan ketika itu sudah jam 12.05 malam.
Pelajar perempuan dari Kampung Gong Lilit dekat Apal yang masih di bawah umur itu, sebelum itu membuat pengakuan bersalah dan mahkamah yang berpuas hati dengan pengakuan salah tertuduh menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau sebulan penjara terhadapnya.
Pasangannya beralamat di Kampung Apal berusia 24 tahun bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.
Mengikut pertuduhan, pelajar itu ditangkap di sebuah rumah di Kampung Teluk Suda, Apal pada jam 12.05 malam pada 21 Mac tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.
Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, penguat kuasa syariah terpaksa masuk ke dalam rumah itu dengan memanjat melalui salah satu tingkap apabila usaha mengetuk pintu gagal dibuka tertuduh.
Menurutnya, apabila berjaya masuk ke dalam rumah itu, penguat kuasa mendapati tertuduh berada di dalam salah satu bilik dengan tertuduh perempuan memakai baju T dan seluar trek, manakala pasangannya tidak berbaju tetapi berseluar.
No comments:
Post a Comment