Monday, June 13, 2011

5,000 Penyokong Penyu Sambut Wira Piala FA di Kuala Terengganu

Ketua pasukan, Marzuki Yusof mengetuai konvoi perarakan pemain Terengganu yang membawa trofi Piala FA dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Dataran Shahbandar Kuala Terengganu, semalam. - Gambar Zulkifli Putra.

Lebih 5,000 orang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu semalam bagi menyambut kepulangan wira mereka bersama trofi Piala FA selepas mengalahkan Kelantan 2-1 pada final kelmarin.

Skuad penyu itu tiba di LTSM kira-kira pukul 4 petang sambil menjulang trofi Piala FA.

Menyertai kumpulan pemain termasuk Pengurus yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh; Setiausaha, Abdullah Salleh serta jurulatih pasukan, Irfan Bakti Alias.

Mereka kemudian menaiki konvoi pacuan empat roda yang diarak sambil diiringi para penyokong dari Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) menuju ke Dataran Shahbandar.

Pemain serta pegawai pasukan seterusnya diraikan pada satu majlis khas di Dataran Shahbandar yang turut disertai lebih 5,000 orang yang mahu menatap wajah wira-wira mereka bersama Piala FA dengan lebih dekat.

Dengan kejayaan ini, impian pemain Terengganu untuk melancong ke Kota London sebagaimana dijanjikan Kerajaan Terengganu pastinya menjadi kenyataan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berjanji membawa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim melawat London selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 30 Mei lalu.

Malah, kenyataan yang sama terus diungkapkan Menteri Besar dalam pelbagai majlis rasmi serta sebagai menjawab pertanyaan media apabila mengulas mengenai perkembangan sukan bola sepak negeri.

Ahmad Said yang ditemui media di pintu masuk ruang kenamaan Stadium Bukit Jalil sebelum wisel permulaan perlawanan final antara Terengganu dan Kelantan, semalam turut menegaskan pendirian beliau untuk memberikan ganjaran itu tidak berubah .



“Setakat ini apa yang kita putuskan tempoh hari tidak berubah. Untuk seterusnya saya tidak boleh beri sebarang komen lagi, biar Terengganu menang dahulu,” katanya lagi.

Malah, berbaki dua lagi perlawanan dalam Liga Super yang menyaksikan Terengganu kini berada di tangga ketiga liga,Kerajaan Terengganu masih mengharapkan pasukan Peteh mampu menjuarai liga berprestij itu sekaligus habuan mengellilingi Eropah menanti pasukan berkenaan.

No comments:

Post a Comment