Thursday, June 30, 2011

Lebih 150 Penunggang Bakal Sertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia Di Terengganu

Lebih 150 peserta dari lapan negara dijangka menyertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia yang akan berlangsung buat julung kali di Kompleks Sukan Gong Badak dari 14 hingga 16 Julai ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir US$10,000 (RM30,000) turut melibatkan peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, Mongolia, India, China, Jepun dan Iran.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata litar perlumbaan di kompleks itu telah diubah suai dan dinaik taraf menjadi litar bertaraf antarabangsa untuk membolehkan kejohanan itu diadakan.

Litar itu sepanjang 1.3km dan mempunyai landskap yang cantik serta menarik, merupakan satu-satunya litar bertaraf antarabangsa yang ada di negara ini, katanya.

Ahmad berkata kejohanan itu diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

No comments:

Post a Comment