Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, wakil tunggal Malaysia ke Majlis Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, terpilih antara tiga peserta ke peringkat akhir pertandingan itu yang akan berlangsung Ramadan ini.
Bapanya Nurunnajmi Yaacob, 40, berkata semalam bahawa Nurussyahamah Taqiah melepasi pemilihan di peringkat awal yang berlangsung di Doha pada 22 Jun lalu yang turut disertai 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.
Beliau berkata anaknya akan ke Doha lagi Ramadan nanti bagi menyertai peringkat akhir dengan dua lagi peserta yang tidak dinyatakan dari negara mana.
Nurussyahamah Taqiah merupakan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, ditemani bapanya, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut, untuk menyertai pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.
Pemilihan Nurussyahamah Taqiah itu merupakan satu kejayaan selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini melibatkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, 49 daripadanya dari Malaysia.
Sebelum berjaya ke Doha, Nurussyahamah Taqiah menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara, dan terpilih antara tiga yang berjaya melepasi ujian berkenaan.
Beliau menjalani sekali lagi ujian dalam bulan April lalu dan dipilih mewakili negara bersama 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.
Sebagai persediaan ke peringkat akhir itu nanti, Nurunnajmi dan isterinya, Sauzan Ibrahim, tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, membawa anaknya itu berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1999 Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan.
Nurussyahamah Taqiah pernah menjadi johan membaca Al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada tahun 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.
No comments:
Post a Comment