Wednesday, June 22, 2011

Enam Pelabur Minat Melabur Dalam Sektor Perikanan Di Terengganu

Enam pelabur dari luar negeri ini berminat melabur dalam sektor perikanan penternakan ikan sangkar di kawasan laut Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata kerajaan negeri setakat ini telah menerima permohonan dari keenam-enam pihak itu yang merupakan usahasama syarikat Malaysia dan dari luar negara.

"Syarikat berkenaan berminat menjalankan penternakan ikan kerapu serta siakap dalam sangkar di kawasan perairan Marang dan Dungun," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimana pun, katanya kerajaan sedang membuat penilaian teliti sebelum meluluskan perkara itu kerana mereka memohon menjalankan projek itu di kawasan perairan pulau sedangkan ia merupakan kawasan taman laut yang dilindungi.

"Kawasan pulau boleh melindungi projek mereka dari musim tengkujuh atau lain-lain bencana...jadi kerajaan terpaksa meneliti dahulu cadangan itu," katanya.

Asha'ari berkata banyak projek ternakan ikan dalam sangkar telah dilaksanakan di negeri ini, tetapi projek ternakan ikan dalam sangkar di laut terbuka yang dicadangkan itu merupakan yang pertama di negeri ini.

No comments:

Post a Comment