Wednesday, June 22, 2011

Pengurus Pusat Pemulihan Akhlak Dituduh Kurung, Dera Penghuni

Seorang pengurus sebuah pusat pemulihan akhlak tidak berdaftar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Marang, kelmarin berhubung lima pertuduhan mendera dan mengurung penghuni pusat itu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Najib Mokhtar, 25, dari Kampung Pulau Panjang, Jertih, telah menganiayai dengan cara yang mungkin menyebabkan berlaku kecederaan fizikal dan emosi terhadap empat remaja bawah umur yang menghuni pusat pemulihan akhlak itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 2 Mei dan 15 Jun lepas di sebuah rumah di Kampung Bukit Gasing, Marang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Dia juga menghadapi dua pertuduhan mengurung dua penghuni wanita dan 13 penghuni lelaki antara 7 Feb dan 15 Jun di tempat yang sama.

Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Mohd Najib turut menghadapi dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan wayar kabel serta kayu terhadap dua penghuni wanita terbabit, serta dengan menggunakan rotan, wayar kabel, kayu dan rantai besi terhadap 13 lelaki berkenaan, yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mohd Najib, yang memakai kemeja-T warna putih dan berseluar sukan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan. Dia kelihatan menggeleng kepala beberapa kali ketika pertuduhan dibacakan.

Apabila Majistret Nor Azizah Yusof meminta penjelasan punca dia melakukan kesemua perbuatan itu, Mohd Najib sempat menjelaskan perbuatan yang dilakukan itu adalah dengan pengetahun semua keluarga penghuni.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes serta bagia tertuduh melantik peguam.

Mohd Najib dibenarkan diikat jamin RM8,000.

Sebelum itu, tertuduh yang ditahan sementara di lokap Majistret Marang, dilihat sempat memeluk dan mencium anak perempuannya berusia dua tahun yang datang melawatnya bersama isteri dan ahli keluarga yang lain.

No comments:

Post a Comment