Wednesday, June 22, 2011

USM Kaji Teknik Baru Kembangkan Penghasilan Gamat

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menjalankan kajian untuk mengembangkan penghasilan benih gamat menerusi teknik pembiakan yang dikenali sebagai "hatcheri".

Ketua Penyelidik Dr Farid Che Ghazali berkata penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan dan Taman Laut Negara itu bertujuan menghasilkan jumlah hidupan laut tersebut di habitat asal selain untuk dikomersilkan.

Katanya, kajian teknik hatcheri itu dilakukan terhadap dua spesies gamat terpilih iaitu gamat sawa dan gamat emas dan menerusi teknik tersebut, proses pembiakan di habitat asal gamat dilakukan secara gabungan dengan kaedah seksual, aseksual dan ternakan dalam sangkar.

"Ini merupakan penyelidikan pertama di dunia kerana penyelidik lain tidak pernah membuat kajian mengenai spesies ini dan tiada kajian yang mengabungkan ketiga-tiga persenyawaan iaitu kaedah seksual, aseksual dan ternakan dalam sangkar," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata gamat itu adalah antara tujuh spesies timun laut yang dikenalpasti sebagai spesies gamat di Malaysia dan ekstrak gamat memainkan peranan penting dalam perubatan tradisional.

Ia sebagai pelengkap bagi perubatan moden di negara ini ekoran kajian mendapati ia mempunyai ciri-ciri penyembuhan luka dan kaya dengan sumber polisakarida, glikoprotein dan lektin.

Gamat juga berpotensi tinggi untuk mengurangkan kesakitan berpunca daripada radang arthritis, rawatan kanser, terapi HIV dan perubatan lain, kata Farid.

Katanya dua pusat hatcheri itu diletakkan di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Tanjung Demong, Besut, Terengganu dan Kampung Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah.

Kajian gamat itu bermula pada 2008 dengan menggunakan geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM2 juta untuk tempoh tiga tahun.

No comments:

Post a Comment