FELDA mampu membayar balik pinjaman berjumlah RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut tempoh yang ditetapkan, kata Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata FELDA akan melunaskan pinjaman itu secara ansuran dan perkara tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah transaksi biasa dalam setiap perniagaan.
"Bagi saya, perkara membuat pinjaman ini adalah menjadi perkara biasa, jadi pinjaman yang kita buat daripada KWSP itu seperti satu penghormatan kepada FELDA kerana mereka yakin kita mampu membuat bayar balik pinjaman itu," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin peneroka FELDA wilayah Terengganu kelmarin (26 Jun 2011).
Ini merupakan kunjungan pertama Mohd Isa ke negeri ini selepas menjadi Pengerusi FELDA tujuh bulan lepas.
Beliau berkata pihak pengurusan FELDA tidak mahu timbul salah faham di kalangan masyarakat FELDA, justeru mengambil langkah turun padang bagi menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, di Sutra Beach Resort, Merang, Setiu malam kelmarin berkata terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab di negeri ini sanggup merancuni fikiran warga Felda agar tidak mempercayai apa dilaksanakan kerajaan walaupun menyedari ianya untuk kebaikan rakyat.
“Bukan itu saja mereka turut mengeluarkan fitnah semata-mata ingin mendapat sokongan selain ingin melihat rakyat Terengganu hidup dalam keadaan berpecah belah.
“Saya sebagai pemimpin dengan telus hati ingin mencabar pihak pembangkang supaya memberitahu mengenai apa lagi kebajikan yang tidak dilaksanakan kerajaan untuk rakyat,” Demikian ditegaskan
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Felda Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengerusi Warga Belia Felda Malaysia, Encik Anuar Abdul Manaf dan beberapa pemimpin peringkat kampung.
Menurut Menteri Besar, kerajaan sudah laksanakan semuanya malah menjaga kebajikan setiap insan itu sejak dalam kandungan ibu lagi dengan memberi pelbagai kemudahan, rawatan dan jenis suntikan bagi mengelak kecacatan.
“Warga felda diminta tidak mudah mempercayai dakwaan karut yang disebarkan pembangkang kerana mereka mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan parti dan diri sendiri.
Mohd Isa pula berkata, keringat golongan muda Felda cukup penting kerana mampu meneruskan kelangsungan dan agenda Felda.
Katanya, Felda kini menjadi tonggak dan nadi penting untuk meningkatkan sumber pendapatan negara. Peranaan seumpama ini sewajarnya diteruskan supaya terus gah mencipta nama di persada antarabangsa.
“Fokus utama kerajaan menubuhkan Felda adalah untuk membantu golongan miskin meningkatkan taraf ekonomi keluarga sehingga mampu menikmati kehidupan lebih selesa.
“Usaha itu semakin membuahkan hasil apabila ramai anak Felda berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, menjadi usahawan terkenal dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment