Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, semalam melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lalu masih belum siap.
Katanya, Jabatan Kerja Raya pernah memaklumkan bahawa kajian oleh perunding akan siap pada Jun ini.
"Tetapi apabila mesyuarat minggu lalu, saya dimaklumkan kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lalu (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.
"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di Kuala Terengganu sempena program sukan tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.
Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu selesai beberapa bulan lalu. Bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.
Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.
Mengenai program sukan Serikandi itu, Ahmad berkata lebih 500 isteri wakil rakyat terbabit dalam dua permainan iaitu badminton dan boling.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka hadir pada hari terakhir kejohanan itu.
No comments:
Post a Comment