Terengganu sudah berteguh azam membenam RedWarriors - sekali gus memastikan piala itu tetap menjadi milik mereka kali ini.
Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh yakin sasaran itu dapat dicapai jika pemain Terengganu dapat memberi tumpuan sepenuhnya dan bersikap tenang menyekat barisan serangan Kelantan daripada mencerobohi kubu mereka nanti.
“Saya cukup berpuas hati dengan latihan dan persediaan yang sudah giat dijalankan sejak pagi tadi (semalam) dan mendapati semua pemain cergas serta mematuhi segala arahan jurulatih, Irfan Bakti sebelum berlepas ke Kuala Lumpur petang ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.
Sementara itu, penjaring terbanyak pasukan, Abdul Hadi Yahya (gambar kanan) gembira dengan kehadiran Ashaari Samsuddin yang diyakini menjadi gandingan terbaiknya dalam rangka memudahkan tugasnya menjaringkan gol.
“Saya akan berusaha memecah kubu pertahanan Kelantan dengan bantuan rakan sepasukan dan yakin dapat menjaringkan gol kemenangan,” katanya.
Bagaimanapun, Terengganu akur pasukan tetangga, Kelantan memang hebat kerana memiliki segala ramuan terbaik apabila bertembung mereka dalam final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok tapi reputasi itu tidak akan mudah menggoncang semangat anak didik Irfan Bakti Abu Salim.
Apapun, pengendali berkenaan menuntut anak didiknya usah terlalu menghormati lawan, sebaliknya bangkit memadamkan duka lama dan membawa pulang trofi sebagai penawar duka tewas 0-3 kepada lawan dalam saingan Liga Super, Isnin lalu.
Melihat kepada prestasi di atas kertas ia memihak kepada Kelantan.
Walau apa pun kita akan memberi persembahan terbaik dalam tempoh 90 minit perlawanan akhir nanti,” kata Irfan semalam.
“Kami tidak akan menggadaikan maruah.” Itulah tekad dilaungkan skuad Kelantan ketika ada khabar angin bertiup kencang menyebut skuad Red Warriors itu akan menyerahkan mahkota kejuaraan Piala FA kepada pasukan tetangga, Terengganu dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Menjelang bahang saingan membabitkan dua finalis dari pantai Timur buat julung kali ada ura-ura bahawa anak didik DatukM Karathu mahu memberi trofi berkenaan kepada lawan dengan sifat yakin gelaran Liga Super akan menjadi milik mereka, musim ini.
Tambah menarik ‘seperti ada komplot’ untuk berkongsi gelaran secara seimbang bagi mengekalkan kuasa bola sepak di sebelah timur semenanjung.
Apa pun, pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata mereka tidak akan mensia-siakan perjuangan selama ini untuk mara ke final sebaliknya mendakwa khabar angin itu dicipta bagi melemahkan semangat Red Warriors merangkul Piala FA buat julung kali.
“Kami tidak akan menggadaikan maruah pasukan. Ini sudah pasti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, malam semalam.
“Kita dapat lihat semua pemain tiba-tiba bersemangat luar biasa dan menunjukkan komitmen baik ketika sesi latihan. Ini menunjukkan mereka begitu mahukan kemenangan.”
Azman berkata, Karathu sedang bekerja keras melatih dan memilih pemain terbaik bakal disenaraikan sebagai kesebelasan utama dan segala usaha ditunjukkan itu adalah mustahil Kelantan akan menyerah dengan mudah.
Katanya, kemenangan ke atas Terengganu Isnin lalu dalam saingan Liga Super memberi keyakinan kepada pemain untuk beraksi di final Piala FA, namun tetap diingatkan tidak memandang mudah kemampuan pihak lawan.
“Semua pihak bekerja keras dalam memastikan usaha yang dilakukan membuahkan hasil pada hari perlawanan dan ini bukti kami tidak main-main untuk mengejar kejayaan,” katanya.
Berita Harian/Utusan
No comments:
Post a Comment