Para pendayung Terengganu Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara mendayung empat lelaki 2km pada temasya Sukan Malaysia ke-14 di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya. - Utusan
Terengganu merangkul dua emas menerusi acara mendayung yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Presint 6, di Putrajaya, semalam.
Emas pertama Terengganu dimenangi Che Ku Nurulasma' Ku Abdullah yang mengungguli acara scull perseorangan wanita dengan catatan masa 9 minit 43.12 saat.
Wakil Selangor Fatin Asilah Paisal yang melakukan 9 minit 49.02 saat membawa pulang perak manakala Siti Halijah Mat Puji (10 minit 3.17 saat) dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa.
Che Ku Nurulasma' ketika ditemui Bernama, berkata beliau tidak menjangka dengan kemenangan itu kerana baru dua bulan menceburi sukan mendayung dan berlatih bersama anggota pasukan yang lain.
"Sebelum ini saya merupakan atlet simpanan pasukan kanu Terengganu. Pengurusan meminta saya mencuba 'rowing' dan alhamdullilah melalui sukan ini saya dapat bermain di Sukma (Sukan Malaysia) dan dapat pula menang emas," katanya.
Kemenangan hari ini juga membuatkan gadis berumur 18 tahun itu lebih bersemangat untuk terus bersama sukan mendayung.
"Saya rasa saya boleh pergi jauh dalam sukan ini. Jika boleh saya mahu mewakili pasukan kebangsaan dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa," kata anak kelahiran Chendering, Terengganu itu.
Satu lagi emas disumbangkan pasukan berempat lelaki (lightweight) Terengganu menerusi gandingan Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar.
Pasukan itu mencatat 7 minit 17.96 saat untuk mengatasi skuad Johor (7 minit 25.96 saat) dan Selangor (7 minit 38.14 saat).
Jurulatih Terengganu Mohd Shahrol Mat Saad menyifatkan kemenangan hari ini sebagai hasil semangat berpasukan dan komitmen tinggi yang diberikan anak buahnya.
"Sasaran kami adalah tiga emas. insya-Allah, besok masih ada lima acara lagi dan berdasarkan prestasi hari ini, saya yakin sasaran tersebut dapat kami capai," katanya.
No comments:
Post a Comment