Adzlan Mohd. Dagang (berdiri kiri) bersama Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Ayob Mamat (berdiri dua dari kiri) beramah mesra dengan wakil media semasa program MBKT Bersama Media, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyasarkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM50 juta sepanjang tahun ini.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan perolehan menggalakkan pada tahun lepas iaitu RM38 juta.
"Walaupun sehingga bulan Jun hasil yang kita kutip tidak sampai separuh daripada sasaran yang ditetapkan, saya tetap optimis sasaran itu mampu dicapai," katanya.
Bercakap kepada pemberita semasa program MBKT Bersama Media di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Burok di sini malam tadi, beliau berkata, pertambahan hasil membolehkan lebih banyak kemudahan disediakan bagi meningkatkan keselesaan warga bandar raya.
Adzlan berkata, pihaknya turut menyasarkan pertambahan hasil bagi kutipan letak kereta termasuk saman yang dikeluarkan untuk tujuan itu kepada RM1.5 juta menjelang hujung tahun ini.
Katanya, dua tahun lepas, pihak MBKT berjaya membuat kutipan RM1 juta manakala tahun lepas kutipan yang diperoleh adalah RM4 juta untuk tujuan yang sama.
"Kita yakin menjelang hujung tahun ini, kita akan berjaya mengutip hasil RM5.5 juta," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan hampir 10,000 saman pada setiap bulan namun, hanya separuh daripada nilai tersebut dibayar oleh pengguna setakat ini.
"Sehubungan itu, kita akan terus menggerakkan pekerja dan pegawai di MBKT ini bagi merealisasikan sasaran kutipan," katanya.
No comments:
Post a Comment