Sunday, June 26, 2011

MB Sampaikan Hadiah Pemenang BOTR Petang Ini

Pelepasan peserta di Sri Pentas yang disempurnakan oleh Datuk Seri Ahmad Said, kelmarin.


Program Boat On The Road 2011 (BOTR 2011) sampai ke kemuncaknya hari ini apabila 200 peserta yang bermalam di Tasik Kenyir tiba di Pangkalan Gawi jam 1 petang ini untuk majlis penutup.

Majlis berkenaan dijadual disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang akan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Program itu yang bermula Jumaat lalu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM116,000 kepada pemenang dengan juara kategori Casting (individu) bakal membawa pulang wang tunai RM30,000; kedua RM15,000 dan ketiga RM10,000 manakala juara kategori Boat House (kumpulan) akan menerima RM12,000; kedua RM8,000 dan ketiga RM5,000.

Penduduk Pantai Timur Semenanjung khususnya sekitar Kuala Berang, Terengganu dijemput memeriahkan lagi acara penutup program berkenaan yang bermula kelmarin.

Mereka yang berkunjung ke tasik itu menyertai pelbagai program menarik anjuran penganjur dan penaja termaasuk mencuba payung terjun ditarik dengan bot, menaiki Banana Boat dan mengunjungi gerai jualan.

Kira-kira 800 peserta yang menaiki 200 kenderaan pacuan empat roda menyertai program kembara dan memancing itu berlepas dari Sri Pentas di Bandar Utama ke Tasik Kenyir, pagi kelmarin.

Acara pelepasan program yang bertujuan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan itu, disempurnakan Menteri Besar sendiri.

Majlis tersebut disiarkan secara langsung oleh TV3 melalui slot Malaysia Hari Ini (MHI) pagi Jumaat lalu.

Peserta juga berpeluang membawa wang tunai RM20,000 sekiranya berjaya menaikkan Arapaima Gigas (ikan naga) atau hadiah misteri bagi tangkapan ikan Kenyir iaitu ikan asal tasik ini.

Rakan penaja Boat Explorer pula berkata pihaknya mengadakan jualan khas iaitu memberi potongan 10 peratus untuk barangan terpilih seperti bot gentian kaca GT Topper berharga antara RM1,450 hingga RM2,300.

Pengunjung yang berminat boleh melawat pameran di gerai di Pangkalan Gawi atau mengunjungi Boat Explore di cawangan terdekat.

Tempoh promosi sehingga 18 Julai depan dan maklumat lanjut boleh kunjungi www. boatexplorer.com.my

No comments:

Post a Comment