Seorang pemuda berumur 24 tahun kelmarin dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh pengusaha ikan dalam sangkar empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Rahim Uda, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas Mohd Faizal Juhari.
Mohd Faizal yang berasal dari Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang dituduh membunuh Tan Hai Peng, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Beris, Marang, pada 30 November 2007, antara jam 1.30 pagi hingga 1.53 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahim antara lain berkata keterangan tertuduh ketika membela diri yang tidak mengingati kejadian bunuh itu diragui kerana tertuduh mengingati apa yang berlaku sebelum dan selepas mangsa dibunuh.
Beliau berkata, kesan 39 kecederaan pada badan mangsa juga menunjukkan tertuduh ada niat membunuh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Aziz Muda.
Mohd Faizal yang dilihat gelisah ketika penghakiman dibacakan, menitiskan air mata apabila dicium ibunya ketika dibawa keluar mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan itu berlaku berikutan rasa tidak puas hati tertuduh terhadap mangsa yang juga majikannya berhubung pembayaran gaji.
No comments:
Post a Comment