Gara-gara memanggil seorang anggota polis bodoh, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikenakan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam selepas mengaku bersalah.
Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa mengeluarkan perkataan "polis bodo" terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 petang, 28 Mei lalu di kawasan LTSM dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.
Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif.
Pendakwaan dilakukan oleh pegawai penyiasat, V Ravi, manakala tertuduh diwakili peguam Hayyatuddin Muhammad.
Peguam bela tertuduh sebelum itu merayu mahkamah supaya melepaskan tertuduh dengan amaran memandangkan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya selain anggota polis terbabit juga tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas itu.
Katanya ia tidak mencerminkan etika yang sepatutnya dipatuhi oleh seorang anggota polis ketika menjalankan tugas mengakibatkan berlaku salah faham sehingga menimbulkan provokasi yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya dan telah terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan.
No comments:
Post a Comment