Wednesday, June 8, 2011

UniSZA Terima Hampir 1,000 Pelajar Baru

Sesi pendaftaran penuntut baru ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu menyaksikan pelajar perempuan terus dominan dengan kemasukan 702 orang berbanding hanya 288 penuntut lelaki.

Timbalan Pendaftar Kanan UniSZA, Ismail Musa berkata, mereka turut mendominasi 25 kursus pengajian yang ditawarkan di peringkat diploma di dua kampus pengajian iaitu Kampus Kota dan Kampus Gong Badak.

Menurutnya, 30 tempat bagi kursus Diploma Fisioterapi yang baru ditawarkan bagi sesi kemasukan Jun ini turut menerima kemasukan 100 peratus penuntut perempuan.

“Pada hari pertama ini, seramai 772 daripada 990 penuntut telah mendaftar dan mereka akan melalui sesi orientasi sehingga hujung minggu ini.

“Sesi pendaftaran selama tiga hari merupakan pengambilan pertama bagi tahun ini dan bagi program peringkat ijazah, kemasukan adalah pada September depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, kelmarin.

Antara kursus diploma yang ditawarkan termasuk Undang-Undang, Teknologi Makmal Perubatan, Sains Kejururawatan, Kewangan, Pemasaran, Perakaunan, Pengajian Islam dan TESL (Teaching English as Second Language).

Tambah Ismail, sehingga kini UniSZA mempunyai 5,400 orang penuntut di tujuh fakulti termasuk Fakulti Pengajian Islam yang terbesar dan dua fakulti baru yang diwujudkan beberapa tahun lalu, Fakulti Pertanian dan Bioteknologi serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Bagaimanapun, tiada penuntut antarabangsa yang mendaftar kerana kursus peringkat diploma tidak dibuka kepada mereka,” katanya.

Menjelang 2015, katanya, bilangan penuntut di universiti itu akan ditingkatkan kepada 8,000 orang dengan memberi fokus kepada penuntut di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

No comments:

Post a Comment