Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima cenderahati dari Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shaberi Chek, turut kelihatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Zulkeples Embong (kiri) di Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 di Stadium Cheras, malam semalam (5 Jun 2011) .
Penganjuran Sukan Malaysia pada setiap tahun membuka lembaran baru kerjasama yang lebih dinamik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dalam memajukan sukan tanah air, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kerjasama itu amat penting kerana sukan harus dibangunkan dari peringkat awal dan peluang yang sama rata mestilah diberikan kepada setiap rakyat untuk mengembangkan bakat dan kebolehan mereka.
"Dengan pendekatan baru Sukan Malaysia secara tahunan ini, bukan sahaja kita bakal mempunyai kelompok atlet muda besar yang mewakili lebih daripada 40 jenis sukan, tetapi juga mampu memastikan setiap persatuan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan sentiasa bergiat aktif melaksanakan program pembangunan bagi penyediaan atlet dan pasukan masing-masing bertanding di pelbagai peringkat," katanya semasa merasmikan Sukan Malaysia ke-14 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam semalam.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Imran Tuanku Ja'afar.
Muhyiddin berkata pengelolaan secara tahunan Sukan Malaysia, yang bermula tahun ini, akan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pembangunan yang lebih tersusun yang melibatkan semua pihak seperti atlet jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata konsep baru penganjuran Sukan Malaysia itu mampu menyediakan peluang pertandingan secara saksama dan berterusan kepada semua jenis sukan di negara ini.
"Jika diambil kira penganjuran Sukan Malaysia kali ini dan Sukan Malaysia di Pahang tahun hadapan, sejumlah 43 jenis sukan dapat dipertandingkan, sekaligus mencapai matlamat kita untuk menyemarakkan pembangunan sukan tanah air secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana jenis sukan," katanya.
Penganjuran secara tahunan itu juga diharap dapat menggalakkan lagi rakyat Malaysia khususnya golongan muda melibatkan diri dalam sukan, kata beliau.
"Ini selaras dengan inisiatif kerajaan di dalam dasar pendidikan negara, di mana setiap pelajar dapat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan menerusi program 1Murid 1Sukan yang akan dilancarkan Kementerian Pelajaran tidak lama lagi," katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata kejohanan sukan terbesar di Malaysia berjaya melahirkan atlet-atlet nombor satu dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Shalin Zulkifli.
"Hampir keseluruhan atlet elit yang mewakili negara sekarang ini dilahirkan menerusi Sukan Malaysia.
"Sehubungan itu, Sukan Malaysia perlu terus dijadikan medan utama bagi usaha-usaha mencungkil bakat-bakat baru untuk kita ketengahkan ke persada sukan antarabangsa," katanya.
Sukan Malaysia ke-14, yang berlangsung dari 2 hingga 12 Jun di sekitar Lembah Klang dan Kompleks Sukan Bukit Jalil, disertai 4,500 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara.
No comments:
Post a Comment