Thursday, June 9, 2011

Petronas Bayar Dividen 30% Kepada Kerajaan 2013

Petronas sedang mengkaji untuk menetapkan jumlah dividen yang akan dibayar kepada kerajaan pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih mulai tahun kewangan 2013.

"Ini menjadikannya sesuatu yang agak pasti dan boleh dijangkakan,” kata Naib Presiden Eksekutif Kewangannya, Datuk George Ratilal, di Kuala Lumpur, semalam.

"Petronas telah berbincang dengan kerajaan dan telah mencapai persefahaman tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita pada pengumuman keputusan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011.

Syarikat minyak nasional itu mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan bagi tahun berkenaan.

Petronas juga membayar dividen yang serupa kepada kerajaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2010.

Presiden dan Petua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas (gambar kiri) berkata Petronas pula berkata ia melihat perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.

Ini didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).

Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi, kata Shamsul Azhar kepada sidang media di Kuala Lumpur.

Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi.

George Ratilal menjelaskan, harga yang lebih tinggi dan permintaan rancak menyebabkan prestasi yang lebih tinggi bagi semua perniagaan teras, kata naib presiden eksekutif kewangan Petronas.

"Prestasi Petronas sendiri juga selaras dengan pesaing kami, menunjukkan satu tahun lagi prestasi berdaya tahan kumpulan," katanya.

Beliau berkata perolehan kasar meningkat 12.9 peratus dengan perniagaan hiliran menjadi penyumbang perolehan terbesar pada 42.4 peratus daripada jumlah perolehan kasar.

Tunai daripada operasi adalah RM70.8 bilion berbanding RM56.1 bilion tahun lepas, satu peningkatan 26.2 peratus berikutan perolehan yang lebih baik.

Sejumlah RM34.9 bilion pada perbelanjaan modal digunakan kebanyakannya kepada merancakkan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran dan meneruskan usaha-usaha lain.

No comments:

Post a Comment