Tuesday, June 7, 2011

Tugas Getir Tunggu Irfan, Penyu

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi kata perangsang di bilik persalinan sebelum perlawanan semalam. - Gambar Harith Fadzilah

Analisis Aqil Farhan Rafiqin


Entah di mana silapnya percaturan pengurusan pasukan Terengganu menyebabkan Penyu sudah dua kali tersungkur begitu teruk.

Tekanan? Bimbang? Tak menjadi?

Semuanya belum terjawab ketika ini hasil kekalahan 3-0 kepada Kelantan malam semalam di Stadium Nasiruddin Shah – gelanggang sendiri.

Secara psikologinya, pasukan Terengganu tertekan apabila dua kejohanan menanti untuk dituai iaitu Liga Super dan Piala FA.

Apalagi hadiahnya lumayan. Satu lawatan ke England dan jika juara kedua-duanya lawatan ke Eropah.

Namun jika terus tertekan, pengurusan dan pemain mungkin kehilangan kedua-duanya.

Harapan rakyat Terengganu, apalagi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said begitu tinggi untuk melihat Terengganu setidak-tidaknya menjadi juara Piala FA tahun ini.

Terengganu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Darul Makmur 13 Mei lalu.

Kali terakhir layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pasukan pantai timur itu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2001 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.

Mungkin tekanan juga berlaku kepada Abdul Hadi Yahya yang ketika ini bersaing dengan penyerang Kelantan yang juga rakan sepasukannya dalam pasukan Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (gambar kanan) yang brjaya menjaringkan dua gol semalam.

Niat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan awal insentif untuk galakan tetapi kini ia mungkin bertukar menjadi tekanan!

Bagi Kelantan, mereka hanya ‘tertekan’ untuk menjadi juara tetapi belum ada apa-apa janji sama ada daripada KAFA mahupun kerajaan negeri.

Juga pemain mungkin bimbang jika mereka gagal memenuhi hasrat pengurusan dan kerajaan negeri, mereka berdepan sebarang kemungkinan kerana sebelum ini ada peringatan dan amaran supaya membawa hasil di atas pelaburan RM3 juta setahun itu.

Yang nyata, jurulatih Irfan Bakti berdepan kedudukan sukar untuk menggembalikan atau memulihkan semangat pemain Terengganu selepas kalah kepada Kedah 0-1 minggu lalu dan terbaru Kelantan malam semalam – kedua-duanya di tempat sendiri.

Amat jelas semalam kata-kata perangsang Ahmad Said tidak berkesan dan pemain Terengganu cepat hilang arah, khususnya pada separuh kedua.

Pengalaman beberapa peman di peringkat antarabangsa tidak terserlah dan ternyata pemain Kelantan lebih mempunyai daya ketahanan dan semangat juang yang diperlukan dalam keadaan tertekan.

Selain itu, apakah Stadium Nasiruddin Shah tidak lai gelanggang selamat untuk Terengganu?

Bagaimana mereka akan menghadapi pasukan pendatang untuk perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini, khususnya untuk kejuaraan Piala Malaysia?

No comments:

Post a Comment