Friday, July 29, 2011

15 Iman Saudi, 10 Mesir Imankan Solat Sunat Tarawih di Terengganu

Seramai 15 imam dari Arab Saudi dan 10 imam dari Mesir akan tiba hari ini (29 Julai) untuk mengimamkan solat sunat terawih di masjid-masjid di negeri Terengganu sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata lapan orang imam dari Mesir itu merupakan guru Bahasa Arab yang sedang berkhidmat di negeri ini manakala dua orang lagi dibawa khas untuk mengimamkan solat Terawih di Masjid Kristal dan Masjid Sultan Zainal Abidin.

“Kesemua imam yang dibawa khas ini akan bergilir-gilir mengimamkan solat Terawih di masjid terpilih di setiap daerah dan masjid utama di daerah. Kita harapkan orang ramai mengambil peluang ini untuk bersama-sama mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

“Sempena Ramadan juga, kita akan agihkan 2,000 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai di Masjid Putih (Sultan Zainal Abidin) bermula 1 Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 300,000 paket kurma dan air zam-zam untuk diagihkan kepada masyarakat Islam di negeri ini, sempena kedatangan Ramadan.

Sehingga kini, paket kurma dan air zamzam itu sudah diedarkan ke pejabat daerah masing-masing dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diagihkan kepada penduduk yang beragama Islam.

“Kita sudah mula agihan dengan daerah Kemaman dan akan disusuli dengan daerah lain dalam masa terdekat. Jadi saya harapkan semua penduduk yang terlibat akan terima dan tidak berlaku keciciran kerana kita mengagihkannya awal,” katanya.

No comments:

Post a Comment