Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu menetapkan kadar fitrah di negeri ini pada RM8, RM7 serta RM5.
Ia menyamai kadar yang dikenakan tahun lalu.
Selain itu MAIDAM memandang serius perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai amil untuk mengutip fitrah dan zakat harta.
Perbuatan itu yang dipercayai didalangi sindiket tertentu dikesan berlaku di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan terutama semasa bulan puasa.
Pengerusi MAIDAM, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, lebih serius lagi, pungutan oleh 'amil haram' itu dilakukan membabitkan zakat harta dengan tujuan mengaut 'untung' berganda.
"Kita ada menerima maklumat mengenai kejadian itu dan kita percaya ada sindiket terlibat, kemungkinan dari luar Terengganu," katanya pada sidang akhbar mengenai penetapan kadar fitrah bagi Terengganu 2011 di pejabatnya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.
Mazlan berkata, umat Islam di negeri ini hanya dibenarkan membayar fitrah dan zakat harta kepada amil-amil yang dilantik oleh MAIDAM.
"Adalah menjadi kesalahan jika ada mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah dan zakat harta kepada pihak lain, hanya kepada MAIDAM dan wakilnya sahaja dibenarkan," jelasnya.
Beliau menegaskan, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
Menurut Mazlan, MAIDAM telah melantik 1,200 amil di setiap masjid serta surau di negeri ini untuk mengutip fitrah dan zakat harta serta bayaran juga boleh dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk pelanggan Celcom dan Maxis.
"Umat Islam juga boleh menunaikan fitrah di kaunter bayaran zakat MAIDAM dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang dari Ahad hingga Rabu dan pada Khamis dari pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang.
"Mulai 19 hingga 29 Ogos pula, kaunter bayaran zakat dibuka tujuh hari seminggu di semua kaunter MAIDAM bermula pukul 8.30 pagi hingga 3.30 petang," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment