Sunday, July 24, 2011

7 Kes Demam Denggi Meningkat di Terengganu Minggu Lepas

Sejumlah 383 kes demam denggi dengan tiada kematian dilaporkan pada minggu ke-28 iaitu bagi tempoh 10 hingga 16 Julai lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 65 kes atau 15 peratus berbanding 448 kes dengan satu kematian pada minggu sebelumnya.

"Bagaimanapun, terdapat dua negeri yang menunjukkan peningkatan berbanding minggu lepas iaitu Terengganu, meningkat sebanyak tujuh kes dan Perlis, satu kes," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata sejumlah 103 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan lima 'lokaliti panas' dikenalpasti berbanding lapan pada minggu sebelumnya, dengan melibatkan 70 kes demam denggi.

Satu daripada lima lokaliti itu masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu di Taman Bukit Rahman Putra, Gombak.

Dr Hasan berkata tiada aktiviti gotong royong dijalankan walaupun keadaan kawasan perumahan itu (Taman Bukit Rahman Putra) tidak bersih dan terdapat pembiakan Aedes yang tinggi.

Ini berbeza dengan empat lokaliti panas yang lain iaitu Apartment Sri Wira dan Kg Simpang Tiga di Gombak, Jalan TPS2 Taman Pelangi Semenyih di Hulu Langat, Selangor dan Menara Orkid di zon Kepong, Kuala Lumpur yang kesemuanya telah menjalankan aktviti gotong royong bagi membersihkan kawasan dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 16 Julai lepas, sebanyak 11,270 kes telah dilaporkan iaitu menurun 57 peratus atau 15,074 kes berbanding 26,344 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 19 kematian akibat denggi dilaporkan, menurun 77 peratus berbanding 84 kematian tahun lepas," katanya.

Beliau berkata bagi penyakit Chikungunya, terdapat dua kes dilaporkan di Sarawak pada minggu lepas dan jumlah terkumpul kes itu ialah 19 kes, menurun 97 peratus berbanding 720 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

No comments:

Post a Comment