Sunday, July 24, 2011

Petronas Bantu 16 Sekolah Capai Kecemerlangan UPSR

Sebanyak 16 daripada 39 buah sekolah rendah yang terlibat dalam Program Bakti Pendidikan Petronas (PBPP) di seluruh negara berjaya mencapai kelulusan 90 peratus dalam tiga mata pelajaran utama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Datin Mary Sadiah Zainuddin semalam berkata pencapaian dalam subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ini menunjukkan keberkesanan program itu sejak dilancarkan lapan tahun lepas.

"Ini merupakan pencapaian yang membanggakan khususnya untuk membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berada," katanya ketika menutup kem motivasi UPSR di bawah PBPP itu di Miri.

Program di sini merupakan siri yang ketiga dilaksanakan tahun ini selepas kem yang sama dianjurkan di Terengganu dan Kota Kinabalu, Sabah, katanya.

Beliau berkata 117 pelajar dari enam buah sekolah rendah di Miri dan Bintulu terlibat dalam program dua hari itu yang turut melibatkan guru pakar dari Kementerian Pelajaran dan sukarelawan yang terdiri daripada eksekutif muda dari pelbagai unit operasi Petronas.

No comments:

Post a Comment