Sunday, July 24, 2011

Taman Rekreasi Perikanan Mega Akan Diwujudkan Di Terengganu

Jabatan Perikanan Terengganu akan mewujudkan Taman Perikanan Rekreasi Mega di sini khusus untuk kaki pancing dan sekaligus sebagai tarikan pelancongan.

Pengarah Perikanan Negeri Zakaria Ismail berkata projek itu akan dimulakan pada tahun depan dan membabitkan kos kira-kira RM2.5 juta.

Jabatan sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai di perairan Kuala Terengganu untuk projek taman rekreasi itu, katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

"Ini adalah di antara beberapa projek baru yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Terengganu dan taman rekreasi itu akan menggalakkan kaki pancing berkunjung ke negeri ini," katanya.

Zakaria berkata jabatan akan meletakkan tukun tiruan bio-aktif, tukun tiruan inovasi penstabilan fosil dan tukun payao di taman rekreasi itu untuk pembiakan hidupan marin.

Katanya jabatan itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan kawasan taman rekreasi itu nanti tidak dicerobohi.

"Kaki pancing yang hendak memancing di kawasan Taman Perikanan Rekreasi Mega itu nanti perlu mendapatkan kebenaran pihak pengurusan taman itu kelak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata jabatan telah meletakkan 1,008 biji tukun tiruan di perairan Terengganu dalam tempoh 2006 hingga 2010 untuk menambah sumber perikanan.

No comments:

Post a Comment