Empat lelaki tidak menyedari bermalam selama dua hari bersama mayat teman serumah mereka yang ditemui mati di dalam bilik tidur di rumah mereka di Batas Baru, Kuala Terengganu semalam.
Mayat Ye Fook Choong, 49, yang berasal dari Segambut hanya ditemui rakan serumahnya apabila terhidu bau busuk dari bilik mangsa.
Ketika ditemui kira-kira 6 petang semalam, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai.
Menurut rakan serumah mangsa Azmi Mohd, 30, dia menyangka mangsa tiada di rumah bagaimanapun dia mengesyaki sesuatu yang pelik setelah melihat lalat dan bau busuk dari bilik mangsa.
Katanya kali terakhir dia bertemu mangsa pada hari Khamis lalu dan mangsa ada mengadu tidak sihat dan batuk.
"Saya ingatkan bau bangkai tikus, jadi saya tidak mengesyaki apa-apa berlaku pada mangsa bagaimanapun setelah lihat kumpulan lalat keluar dari bilik mangsa saya cuba membuka pintu bilik tetapi berkunci," katanya ketika ditemui.
Menyedari mungkin sesuatu berlaku terhadap mangsa, Azmi terus menghubungi pihak polis dan polis terpaksa memecahkan pintu bilik mangsa dan melihat mangsa sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Katanya berdasarkan keadaan mayat yang berbau busuk itu mangsa dipercayai mati kira-kira empat hari lalu.
"Tiada sebarang unsur jenayah terhadap mangsa dan mengklasifikasikan mati mengejut," katanya dan menambah mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk di bedah siasat.
No comments:
Post a Comment