Sunday, July 24, 2011

EON Labur Lebih RM20 Juta Naiktaraf 32 Cawangan Seluruh Negara

Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) melabur lebih RM20 juta untuk menaik taraf kesemua 32 cawangan syarikat itu di seluruh negara.

Pengerusinya Tan Sri Marzuki Mohd Noor berkata langkah menaik taraf itu merupakan salah satu inisiatif EON menambah baik kemudahan yang sedia ada dan seterusnya melakar strategi pemasaran yang lebih proaktif.

"EON mempunyai 32 cawangan yang diklasifikasikan 2S, 3S dan 4S. Untuk maju ke hadapan EON akan membuat pengubahsuaian atau naik taraf kesemua cawangannya secara berperingkat agar ia diklasifikasikan sebagai 4S iaitu Sales (Jualan), Service (Servis), Spare Part (Alat Ganti) dan Spray Painting (Mengecat).

"Sehingga kini, lima cawangan telah dinaik taraf dengan Sitiawan, Sri Manjong, Perak merupakan cawangan pertama dinaikkan taraf dan Kota Baharu, Kelantan merupakan cawangan kelima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Cawangan EON 4S Kota Baharu semalam.

Beliau berkata tiga lagi cawangan EON yang lain yang telah dinaik taraf ialah di Temerloh, Pahang, Petaling Jaya, Selangor dan Glenn Marie, Kuala Lumpur.

Marzuki berkata langkah menaik taraf cawangan-cawangan itu bermula tahun lalu dan pihaknya menyasarkan kesemua cawangan akan dapat dinaik taraf menjelang akhir tahun hadapan.

"Selepas cawangan ini (Kota Baharu), dijangkakan pada bulan Oktober ini, proses naik taraf akan dilakukan di cawangan Kuala Terengganu pula," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi EON Berhad Azman Idris berkata proses menaik taraf cawangan tunggal di Kota Baharu itu kini menjadikan cawangan itu memiliki ruang yang lebih luas dan selesa, pusat servis yang lebih mesra terhadap pelanggan, ruang menunggu yang selesa dan penambahan petak servis kereta.

"Melalui cawangan yang dinaik taraf dari 3S kepada 4S ini, maka kita menjangkakan perkhidmatan yang lebih cekap dan sistematik dapat diadakan seterusnya memenuhi jangkaan kualiti dan kehendak pelanggan," katanya.

Beliau berkata, dengan pertambahan petak servis juga, pihaknya menyasarkan pertambahan perkhidmatan selepas jualan di cawangan itu sehingga 60 buah kereta sehari.

No comments:

Post a Comment