Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Daerah Hulu Terengganu menyasarkan RM150,000 sebulan bagi jumlah hasil jualan di tiga pasar tani yang kini beroperasi di daerah ini iaitu Pasar Tani Kuala Berang, Pasar Tani Kuala Ping dan terbaru, Pasar Tani Kuala Telemong.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Daerah Hulu Terengganu, Abd Ghani Zainal berkata, sasaran tersebut dilihat bukan sahaja dapat dicapai sebaliknya mampu melebihi jangkaan berikutan graf sambutan pembeli semakin menunjukkan peningkatan terutama di Pasar Tani Kuala Ping dan Pasar Tani Kuala Telemong.
“Sebagaimana sedia maklum, kita mempunyai: tiga pasar tani di daerah ini iaitu Kuala Berang yang beroperasi pada Isnin, manakala bagi Kuala Ping serta Kuala Telemong adalah pada setiap Jumaat.
“Keseluruhan peserta pasar tani yang ada kini sekitar 130 peserta dengan menjalankan jualan pelbagai jenis produk,” katanya.
Abd Ghani berkata, jumlah hasil jualan di Pasar Tani Kuala Berang dilihat stabil iaitu sekitar RM80,000 sebulan tetapi di Pasar Tani Kuala Telemong ia menunjukkan graf peningkatan dan kini sudah melebihi RM50,000 sebulan.
“Manakala jualan bagi bulan pertama Pasar Tani Kuala Telemong yang baru beroperasi awal Jun lalu ialah kira-kira RM12,000.
“Kita percaya jumlah ini akan terus meningkat sekali gus mencapai sasaran iaitu RM150,000 hasil jualan di ketiga-tiga pasar tani yang ada di daerah ini,” katanya.
Menurutnya, selain usaha dilaksanakan Fama, ia juga memerlukan sokongan daripada pihak lain terutama kepimpinan kampung bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berkualaiti. Malah, lebih penting adalah peserta sendiri perlu lebih berusaha.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Abd Ghani menambah pihaknya menjangkakan jumlah hasil jualan pada Ramadan nanti mampu mencapai lebih RM200,000 berikutan kadar permintaan pembeli pastinya akan meningkat sepanjang bulan puasa nanti.
Katanya, pihaknya mengharapkan peserta pasar tani dapat merebut peluang untuk menambah pendapatan masing-masing dan pasar tani juga akan beroperasi sebagaimana biasa sepanjang bulan puasa nanti.
No comments:
Post a Comment