Wednesday, July 6, 2011
MB Janji Bantu Keluarga Kanak-kanak Pasangan Kembar Seiras Rentung di Durian Mas
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berjanji memberikan bantuan segera kepada keluarga malang apabila anak kembar mereka ditemui rentung.
Dalam kejadian semalam, pasangan kembar perempuan berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan setelah rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir di Kuala Terengganu musnah dalam satu kebakaran pagi semalam.
Menteri Besar membuat pengumuman itu ketika melawat mangsa semalam.
Nor Fatin Fazanah Hamid dan Nor Fatin Fazana ditemui mati dalam timbunan kain di bilik mereka oleh pasukan bomba sejurus selepas berjaya memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi itu.
Menurut bapa kembar itu, Hamid Mustafa, 44, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari tentang kebakaran tersebut setelah dikejutkan oleh sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang duduk berjiran dengannya.
"Saya hanya menyedari kejadian setelah sepupu menjerit rumah saya terbakar dan saya cuba mencari dengan memanggil kedua anak tetapi gagal," katanya dengan penuh sugul ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Hamid yang menghidap penyakit epilepsi tidak menyangka kerenah kembarnya yang merupakan anak kelima dan keenam itu meminta dihantar ke klinik setelah demam dua hari merupakan petanda mereka akan pergi untuk selama-lamanya.
"Sebelum tidur, anak ada menyuruh hantar ke klinik sebab demam dan ada mereka memberitahu nak ke klinik dan tidak mahu balik lagi," katanya.
Ibu kanak-kanak itu, Suriani Sulong, 40, yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.
"Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira 9.30 pagi yang menyatakan rumah saya terbakar," katanya dengan sayu dan kelihatan masih kebingungan dengan kejadian malang itu.
Menurutnya, pasangan kembar itu sempat memintanya mencium mereka sebelum dia keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi.
Pasangan suami isteri itu mempunyai enam anak terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan yang berumur antara tiga dan 18 tahun, bagaimanapun kerana kesempitan hidup, dua daripada anaknya yang berumur 11 dan 17 tahun tinggal dengan saudaranya di Kemaman.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini berkata bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas menerima panggilan 9.20 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian hampir 95 peratus rumah itu telah terbakar.
Katanya tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bersama 20 anggota dan pegawai mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran rumah itu yang dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Kita masih menyiasat punca kebakaran ini dan nilai kerugian dianggarkan RM50,000," katanya.
No comments:
Post a Comment