Keadaan seorang budak yang menunggang basikal di hadapan rumahnya dilanggar mat rempit di Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu, pertengahan Mei lalu.
Kelakuan mat rempit, yang menunggang motosikal secara berbahaya di bandar raya ini, semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kebimbangan para pemandu kerana ia mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.
Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terutamanya kalangan wanita berasa risau dan takut dengan gelagat mereka, yang biasanya melakukan aktiviti bahaya mereka setiap petang hujung minggu.
Seorang pemandu, Halimah Abdul Wahab, 50, berkata dia berasa bimbang setiap kali ingin ke kedai terutamanya di kawasan bandar berikutan ramai mat rempit yang terlalu berani melakukan aksi-aksi bahaya.
"Saya memang risau dan takut setiap kali memandu ke bandar. Ada masa saya terpaksa memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada mereka yang terlalu ramai. Kadangkala mereka menunggang secara berkumpulan lebih daripada 50 buah motosikal," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu
Ada di kalangan mat rempit yang bertindak di luar dugaan seperti menunggang motosikal dari arah bertentangan semata-mata untuk keseronokan, katanya.
Halimah berkata dia sangat tidak selesa dengan keadaan sedemikian dan berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan kawalan bagi mengekang masalah itu.
"Keadaan seperti ini bukan sahaja membahayakan keselamatan masyarakat tapi ia juga memberikan imej buruk kepada pelancong yang datang melawat negeri ini," katanya.
Pengunjung dari Pahang, Siti Nur Syuhada Mohamed Rahim, 21, yang merupakan penuntut sebuah universiti awam di utara tanah air, turut mempunyai pandangan sama.
Katanya dia terkilan melihat terlalu ramai mat rempit di jalan raya tidak menghiraukan keadaan sekeliling.
Siti Nur Syuhada, yang pertama kali berkunjung ke Terengganu, terkejut melihat ramai golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan menghabiskan masa dengan sia-sia dengan merempit.
"Perkara ini memberi imej yang negatif kepada Terengganu sendiri. Saya harap pihak berkuasa di sini dapat mengambil tindakan perlu untuk mengatasi masalah ini, selain mengambil tindakan, mungkin boleh tambah pusat riadah untuk golongan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment