Pendaftaran semula pengusaha pengangkutan awam dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara lain bertujuan untuk menjaga kebajikan kumpulan itu.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata rezeki pemandu kenderaan awam seperti teksi dan bas seringkali terjejas oleh pengusaha kenderaan komersial secara haram.
"Kita lihat ada banyak masalah yang menjejaskan pendapatan kumpulan ini, contohnya pemandu teksi, rezeki mereka sering diganggu pengusaha teksi sapu.
"Ada juga bas, yang sepatutnya tidak ambil penumpang, mereka ambil penumpang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Pendaftaran Semula SPAD yang turut dihadiri 100 pengusaha pengangkutan awam di Kuala Terengganu.
Katanya kerjasama SPAD dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka yang bekerja sebagai pemandu.
"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan profesionalisme, jadi orang dah tak segan jadi pemandu, kita nak jaga dari segi gaji mesti bagus, kebajikan mesti dijaga," katanya.
Selain itu, katanya SPAD akan mengambil tindakan secara bersepadu dengan JPJ dan PDRM bagi memudahkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengangkutan awam.
Jelasnya, tindakan itu akan memastikan inisiatif yang efektif bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dalam industri pengangkutan awam darat di negara ini.
Sementara itu, beliau berkata ketika ini masih ada kira-kira 80 peratus pengusaha pengangkutan awam di pantai timur yang belum berdaftar dengan SPAD.
"Setakat ini hanya ada kira-kira 20 peratus atau 2,600 lebih pengusaha yang berdaftar, sedangkan kita ada kira-kira 10,000 pengusaha pengangkutan awam serta 25,485 kenderaan komersial di Pahang, Terengganu dan Kelantan," katanya.
Syed Hamid berkata tarikh tamat pendaftaran semula kenderaan komersial dengan SPAD yang bermula 1 April lepas berakhir 30 September depan dan setakat ini, pihaknya tidak berhasrat melanjutkan tempoh berkenaan.
No comments:
Post a Comment