Wednesday, July 20, 2011

Pendapatan Perwaja Sedia Utk Melonjak Dgn Konsesi Tanah Perlombongan Baharu

Syarikat pengeluar keluli, Perwaja Holdings Bhd, mungkin membida untuk mendapatkan beberapa kawasan tanah perlombongan yang akan diberikan oleh negeri-negeri Pahang dan Terengganu tidak lama lagi.

Ini berkemungkinan besar berikutan hakikat yang Perwaja baru-baru ini telah melahirkan hasratnya untuk menerokai bidang perlombongan bijih besi, iaitu bahan mentah yang boleh digunakan dalam kilang pelet bijih besi di Kemaman, Terengganu.

Kilang itu yang dijangka beroperasi dalam separuh pertama tahun depan, mungkin menyaksikan lonjakan dalam pendapatan Perwaja, kata OSK Research.

Dalam suku pertama berakhir 31 Mac, 2011, Perwaja mencatatkan kerugian pracukai RM24.282 juta berbanding untung pracukai RM22.66 juta sebelumnya dengan pendapatan merosot kepada RM426 juta daripada RM373.7 juta dicatatkan terdahulu.

Konsesi perlombongan itu ekoran saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggalakkan negeri dengan rizab bijih besi dan arang batu memperuntuk lebih banyak tanah untuk pengeluar keluli menjalankan perlombongan komersil bagi meningkatkan operasi masing-masing.


"Kami difahamkan daripada pakar pasaran yang terdapatnya beberapa kawasan tanah perlombongan di Pahang dan Terengganu telah bersedia untuk diberikan oleh kerajaan negeri berkenaan bila-bila masa sekarang," kata OSK, sambil menambah yang terdapatnya kemungkinan besar Perwaja akan merebut sekurang-kurangnya satu plot perlombongan baharu di Terengganu.

Kilang Perwaja, terletak secara strategik di Kemaman dan kilang peletnya yang baharu di Kemaman, telah bersedia untuk meningkatkan nilai bijih besi, yang boleh digunakan sebagai bahan mentah bagi kilang besinya.

Hakikat yang Perwaja pada asalnya ialah sebuah projek kebangsaan turut menaikkan kemungkinan syarikat mendapatkan sebarang konsesi bijih besi yang bakal diwujudkan di Terengganu atau Pahang, kata OSK.

OSK memetik semula apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said baru-baru ini yang Jabatan Mineral dan Geosains negeri telah mengendalikan kajian enam bulan ke atas daya maju pembukaan semula perlombongan besi di Bukit Besi.

"Jika terdapat sebarang perlombongan dilakukan di sana, kerajaan negeri sendiri akan melakukannya dengan membentuk usaha sama dengan syarikat persendirian," kata beliau.

Lombong Bukit Besi pada umumnya mempunyai rangkaian jalan raya umum yang baik.

OSK berkata sekiranya Perwaja memperolehi lesen atau konsesi perlombongan besi, penjimatannya boleh menyaksikan US$100 (RM300) setonne memandangkan kos perlombongan adalah kurang daripada US$50 (RM150) setonne.

Selain daripada itu, margin potensi daripada pelet seharusnya memberi manfaat kepada syarikat kerana kos pengangkutan akan berada di bawah US$10 (RM30) setone berbanding fret pukal semasa melebihi US$10 dan US$20 setonne, masing-masing dari Australia dan Brazil.

Sementara itu, pada tengah semalam, saham Perwaja naik dua sen kepada 90 sen di Bursa Malaysia.

No comments:

Post a Comment