Sunday, July 24, 2011

Terengganu Anjur Pertandingan Gamelan Peringkat Kebangsaan Oktober Depan

Gambar hiasan - salah satu festival gamelan diadakan di Terengganu.

Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan pertandingan gamelan peringkat kebangsaan 2011 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 29 Oktober depan, di Kuala Terengganu.

Ketua Bahagian Perhubungan dan Promosi Muzium Negeri, Sabri Muda berkata pertandingan itu adalah salah satu usaha untuk memartabatkan seni gamelan Melayu supaya kedudukannya setaraf dengan seni lain.

Katanya pertandingan yang terbuka kepada kumpulan gamelan Melayu di seluruh negara itu juga untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi selain mewujudkan peluang kepada pencipta dan penggubah muzik menonjolkan hasil ciptaan lagu-lagu tradisi mereka.

Sabri berkata dua kategori gamelan dipertandingkan iaitu kategori gamelan Melayu tradisional dan gamelan Melayu kontemporari/kreatif.

Katanya dalam kategori gamelan Melayu tradisional, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua buah lagu iaitu lagu gamelan Melayu instrumental dan lagu gamelan Melayu secara vokal, sementara bagi kategori gamelan Melayu kontemporari peserta disyaratkan menyampaikan dua buah lagu sama ada lagu instrumental atau vokal ciptaan sendiri.

Menurutnya juara bagi kedua-dua kategori itu bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Keterangan lanjut mengenai pertandingan itu boleh hubungi urus setia pertandingan di talian 09-6221444.

No comments:

Post a Comment