Wednesday, July 20, 2011

Program ETA Tingkat Keyakinan Pelajar Menengah Agama

Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris atau English Teacher Assistants (ETA) yang melibatkan 17 orang peserta dari Amerika Syarikat (AS) diperkenalkan sejak 2005 berjaya melatih dan mendidik pelajar supaya lebih berkeyakinan menggunakan bahasa Inggeris.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Shamsiah Mohd Radzi berkata program ETA banyak membantu para pelajar di sekolah itu untuk memahami dan mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih mudah dan memberi keyakinan kepada mereka bertutur dengan lebih fasih.

Katanya program itu menarik minat ramai pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana mereka tidak diajar secara terus seperti berada di dalam kelas sebaliknya mereka diajar untuk berkomunikasi secara bebas melalui persatuan, yang mana ia tidak membosankan pelajar.

"Melalui program ini juga pelajar semakin aktif dalam berpersatuan kerana peserta ETA di sini pandai menarik minat pelajar untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus mengajak dan mengajar mereka untuk bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas Program Pertunjukan Fesyen Muslimah yang dianjurkan oleh ETA di sini pada Selasa.

Katanya program pertunjukan fesyen amal itu bertujuan membantu mangsa kebakaran di sini dua minggu lalu dan turut disertai oleh salah seorang peserta ETA, Lynn El Harake, 23, dari AS.

Beliau yang bakal menamatkan khidmatnya di Terengganu pada November ini tidak merancang untuk meneruskan khidmatnya di sini sebaliknya akan kembali ke AS untuk bekerja dalam sektor kesihatan awam.

Shamsiah berkata pihaknya akan memohon untuk mengambil peserta ETA lagi pada masa akan datang kerana program itu mampu membangunkan minat para pelajar dalam penggunaan bahasa Inggeris dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali budaya luar.

No comments:

Post a Comment