Wednesday, July 20, 2011

Sasar 470,000 Graduan Politeknik Sedekad

Md. Nor Yusof (dua dari kanan) melawat gerai pameran yang diadakan sempena Seminar Teknologi Hijau 2011 di Primula Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beberapa lagi politeknik akan dibuka di seluruh negara dengan sasaran institusi tersebut dapat mengeluarkan sehingga 470,000 graduan sepanjang tempoh satu dekad akan datang.


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) Kementerian Pengajian Tinggi, Mejar (K) Md. Nor Yusof berkata, prasarana yang ada ketika ini cuma dapat mengeluarkan 300,000 graduan dengan kadar pengambilan 30,000 pelajar setahun.

Namun begitu katanya, JPP sentiasa berusaha untuk mencapai hasrat tersebut dengan menambahkan bilangan institusi di samping menawarkan bidang kursus yang selari dengan kehendak pasaran semasa.

Menurut beliau, ini termasuklah rancangan pembinaan lima lagi politeknik dalam tempoh terdekat termasuk dua politeknik Metro yang hampir siap.

‘‘Pada masa ini seramai 90,000 pelajar sedang menuntut di 28 buah politeknik di seluruh negara yang membabitkan 24 politeknik konvensional, tiga buah politeknik Premier dan sebuah politeknik Metro,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Teknologi Hijau 2011 anjuran JPP di Hotel Primula di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Lestari, Sektor Tenaga, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Ke TTHA), Badriyah Abd. Malek.

Seramai 120 pensyarah JPP daripada 28 politeknik seluruh negara menyertai seminar tiga hari itu. Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan.

Beliau menjelaskan, tiga politeknik Premier itu membabitkan politeknik Ungku Omar, Shah Alam dan Johor Bharu mempunyai kemudahan asas yang lengkap di samping bidang kursus yang pelbagai.

Manakala, politeknik Metro merupakan konsep pusat pengajian dibina di kawasan bandar yang tidak mempunyai asrama dengan memberi keutamaan kepada pelajar di kawasan sekitar.

‘‘Politeknik Metro di Setiawangsa, Kuala Lumpur telah mengambil pelajar pada tahun lalu dan dua buah lagi politeknik seumpama itu kini telah hampir siap dan dijangka akan memulakan pengambilan pelajar pada tahun depan,” ujar.

Menurut Md. Nor, kerajaan juga bersetuju untuk membina tiga lagi politeknik iaitu di Bagan Datoh, Perak, Pagoh di Johor dan Hulu Terengganu yang setiap satu menelan kos kira-kira RM200 juta.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment