Friday, July 29, 2011

Vitato Jana Pendapatan Lumayan Petani Di Terengganu

Rencana Bernama Oleh Ibrahim Abu Bakar (26 Julai 2011)

Vitato, varieti baru ubi keledek, mula mendapat perhatian dan diusahakan para petani di Terengganu apabila tanaman ini didapati menjana pendapatan lumayan, menggantikan tembakau sebagai sumber utama.

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengambil beberapa langkah dan memberi tumpuan kepada tanaman ubi Vitato sebagai komoditi terpilih untuk dimajukan.

Bagi menjamin kualiti dan bekalan benih Vitato mencukupi, LPP memperuntuk sebanyak RM70,000 pada tahun ini kepada PPK Kerandang di Gong Nangka, Besut untuk menanam Vitato di kawasan seluas empat hektar.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata langkah itu bagi tujuan meningkatkan pengeluaran dan hasil pendapatan kepada petani.

Beliau berkata projek tanaman Vitato bermula pada akhir tahun 2007 di PPK Pelagat dan Setiu.

Sehingga 2011 projek itu membesar melibatkan kawasan seluas 135 hektar dengan 162 peserta.

LPP BANGUNKAN LADANG BENIH

Katanya keupayaan pengeluaran benih Vitato dianggarkan sehingga dua juta keratan pucuk semusim yang dijual kepada petani dengan harga tiga sen satu.

“Satu pokok boleh menghasilkan 8-10 keratan pucuk, tuaian pertama semasa umur 10 minggu dan tuaian kedua empat minggu selepas tuaian pertama,” jelas beliau.

Shamsuddin berkata setakat ini LPP membangunkan tiga ladang benih Vitato di daerah Besut seluas sembilan hektar kerana tanah di daerah itu sesuai untuk tanaman Vitato, tetapi di daerah lain seperti di Marang, hasilnya tidak menjadi kerana tanah tidak sesuai.

MINI ESTET VITATO

Kira-kira 2,484,44 tan Vitato dihasilkan sejak 2008 hingga 2010 yang bernilai RM1,760,353.71.

Pada tahun 2010, LPP negeri Terengganu melancarkan projek perintis menanam Vitato di Dendong PPK Kerandang yang mengeluarkan hasil sebanyak 20 tan metrik sehektar.

Mulai tahun ini, LPP melaksanakan projek itu secara mini estet kerana pengurusannya lebih terancang selain dapat meningkatkan hasil kepada 12 tan sehektar.

Sebuah kilang Vitato bernilai lebih RM4.8 juta dibina untuk memproses Vitato menjadi tepung dan puri.

Kelebihan Vitato ialah ia mengandungi Beta karotina. Ia boleh dimakan selepas direbus, kukus, goreng atau dibakar. Ia juga boleh diproses menjadi produk makanan seperti jejari goreng, kek, ban dan muffin.

NEGERI TERBESAR PENGELUARAN UBI VITATO


Shamsuddin berkata setakat ini Terengganu merupakan negeri yang terbesar mengeluarkan ubi Vitato dan tanaman itu akan diperluas ke seluruh daerah sekiranya ada permintaan daripada petani.

Beliau berkata ubi Vitato sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah, termasuk tanah beris dan tanah bekas lombong.

PPNT menjalankan penyelidikan pasaran bersama Mardi dan pada masa yang sama ini, Nestle mengenal pasti kelebihan produk Vitato untuk dipasarkan bagi segmen industri dan runcitnya.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat Zakaria Ibrahim berkata tanaman ubi Vitato boleh memberikan pendapatan lumayan kepada peserta.

Contohnya anggota PPK Kerandang yang menyertai mini estet Vitato kini memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM15,000 sebulan, bergantung kepada luas tanaman.

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

Katanya Vitato kini menjadi tanaman utama bagi PPK Keradang menggantikan tembakau yang dihentikan penanamanya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Peladang Negeri kerana banyak membantu petani khususnya anggota kami dalam tanaman Vitato ini,” katanya.

Zakaria berkata pada tahun lepas PPK Kerandang berhasil menuai sebanyak 319.9 tan Vitato bernilai RM270,870 manakala tahun ini tuaian setakat ini sebanyak 202 tan bernilai lebih RM216,000.

No comments:

Post a Comment