Kira-kira 1,000 anak jati Terengganu yang berada di perantauan akan diraikan di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau 2011 di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu pada Hari Raya Kedua iaitu 31 Ogos.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dijangka turut memeriahkan majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom).
Persembahan kebudayaan, nyanyian lagu Hari Raya, sesi interaksi dan fotografi pasti menjadi tarikan perantau yang hadir di majlis tahunan yang bermula jam 10 pagi itu.
Pengarah Ukom, Shamsudin Sulong, berkata program yang dianjurkan ini membolehkan setiap perantau dapat menghayati perubahan serta hala tuju pembangunan negeri dan seterusnya bersama-sama membantu ke arah menjayakan aspirasi negara.
Katanya, di samping itu, hubungan silaturahim antara pemimpin dan anak-anak Terengganu sama ada yang belajar di luar Terengganu dan bekerja di negara asing dapat diperkukuhkan lagi.
“Program yang dianjurkan sejak 2004 akan diteruskan kerana mampu memberi impak positif kepada semua pihak mengenai pelbagai perkara termasuk memperjelaskan isu-isu semasa mengenai kerajaan negeri,” katanya.
No comments:
Post a Comment